top of page

Pelan data baharu LIFE sasar 100,000 pelanggan

KUALA LUMPUR: Penyedia telekomunikasi bersepadu baharu, MBits Digital Sdn Bhd atau Telco-Media menyasarkan 100,000 pelanggan baharu kad prabayar menjelang akhir tahun ini, dipacu pengenalan produk baharu pelbagai platformnya, LIFE ke pasaran tempatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sara Nattaya Azmi, berkata LIFE adalah produk berbeza dengan tawaran syarikat telekomunikasi lain kerana tidak hanya menawarkan kad sim dan data pada pakej serendah RM38 sebulan.


Malah, katanya produk yang mula ditawarkan secara tidak rasmi pada Jun lalu itu turut menawarkan platform bersepadu lain merangkumi kandungan digital, e-dompet, penstriman, permainan, beli-belah dan lain-lain lagi.


"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami membuat pra-pelancaran pada Jun dan setakat ini sudah memiliki kira-kira 5,000 pelanggan LIFE.

"Meskipun sasaran 100,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini adalah tinggi, kami optimis untuk mencapainya selaras dengan perkhidmatan yang ditawarkan secara hibrid kepada pelanggan.


"Sasaran pelanggan kami adalah golongan 12 hingga 65 tahun terutama di kawasan luar bandar yang kurang mendapat akses kepada kandungan dan perkhidmatan dalam satu produk," katanya pada taklimat media LIFE di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Teknologi MBits Digital yang juga Ketua LIFE, Tamilhselvan Kuppan.


Sara Nattaya berkata, bagi mengurangkan kontak, pelanggan baharu boleh mendapatkan pek pemula kad sim LIFE secara dalam talian menerusi www.getlife.com.my sebelum ia dihantar ke alamat pelanggan.


"Bagi mereka yang ingin mengambil sendiri kad sim di rakan niaga kami di seluruh negara. LIFE adalah platform gaya hidup dan nilai untuk wang di mana kami menyediakan pakej tanpa kos tambahan untuk membolehkan pelanggan mengakses perkhidmatan hiburan tanpa henti.


"LIFE menawarkan data dan kandungan enam gigabait (GB) pada harga RM38 sebulan, selain pakej lain yang memberikan nilai pada wang pelanggan," katanya.

Beliau berkata, MBits Digital mengambil masa lebih empat tahun untuk menghasilkan LIFE hasil kajian terperinci oleh rakyat tempatan sebelum tampil dengan produk semua dalam satu itu.


"Kami yakin dengan kerjasama dengan Digi untuk menawarkan liputan terbaik kepada pelanggan khususnya pelanggan di luar bandar untuk menikmati kandungan seperti mana pelanggan kami di sekitar Lembah Klang dan bandar utama," katanya.


Mohd Zaky Zainuddin Berita Harian




 
 
 

תגובות


© 2021 by MBits Digital Sdn Bhd

Subscribe for MBits Digital Updates!

Thanks for submitting!

bottom of page